Wednesday, May 11, 2005

gender

assalamualeikum wbt

Below is a brief summary of a longer essay on gender equality or in Malay, "kesamaan gender":

Saya amat tertarik dengan berita yang disiarkan beberapa hari lepas berkenaan dengan persetujuan kerajaan Malaysia dan para kenamaan di persidangan NAM untuk mempertingkat dan melaksanakan sistem kesamaan gender di Malaysia. Penggunaan perkataan "kesamaan" mengganggu saya sedikit sebanyak berdasarkan impaknya samada baik atau buruk kepada masyarakat kita.

Feminis barat sendiri menekankan perlaksanaan ideologi berdasarkan dan mementingkan rumpun budaya dan masyarakat masing-masing tetapi menggalakkan perkongsian ideologi dan idea di peringkat antarabangsa. Jadi, dalam usaha meletakkan negara kita setaraf dengan negara-negara barat, tidak perlulah kita mengambil 100% perkataan, konsep atau perlaksaan sistem yang diamalkan mereka.

Negara-negara barat mementingkan kesamaan gender, mementingkan perlaksanaan apa jua bidang dengan mengabaikan gender dan melihat semua orang sebagai individu yang sama. Ini dapat dilihat dari perlaksanaan undang-undang mereka dan cara hidup mereka.Sistem ini dapat diterima pakai kerana mereka berjaya memisahkan agama dengan hidup mereka.

Walhal kita di Malaysia, sebuah negara Islam (pada saya, negara yang majoritinya beragama Islam) tidak boleh mengamalkan sistem yang sama kerana Islam tidak mementingkan atau meraikan kesamaan gender tetapi cara hidup yang saksama berlandaskan Quran dan sunnah. Islam itu adil, Islam meletakkan sesuatu pada tempatnya, Islam itu saksama. Islam tidak hanya untuk orang yang beragama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam tetapi kepada semua manusia. Jadi matlamat utama kita sepatutnya bukan untuk mencapai kesamaan gender tetapi untuk melaksanakan hak individu berdasarkan Quran dan sunnah.

Masyarakat barat sendiri ada masalah dengan penggunaan perkataan "kesamaan" kerana perlaksanaannya masih ada kekurangan, masih ada kumpulan yang ada kepentingan dan mahu meletakkan diri mereka diatas orang lain. Sebagai contoh, peluang pekerjaan dibuka sama rata kepada perempuan dan lelaki tetapi jika dilihat peratusan perempuan masih kecil terutama dalam jawatan penting. Di manakah kesamaan yang dilaung-laungkan sebenarnya?

Kesaksamaan gender, jika dilaksanakan di Malaysia akan mementingkan pemahaman isi Quran dan sunnah. Apabila individu sudah arif tentang hak-hak mereka, interaksi dengan individu lain tidak kira bangsa, agama dan cara hidup akan menjadi mudah dan berkesan. Masalah social akan berkurangan dan produktiviti negara akan bertambah.